Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Daripada petunjuk awal yang dikumpulkan pada April dan Mei 2020, persekitaran ekonomi diunjur kurang memberangsangkan bagi perniagaan Malaysia disokong oleh Petunjuk Utama (LI) terbaharu yang memberi isyarat kemelesetan ekonomi dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata langkah-langkah dinamik diperlukan bagi mengubah struktur ekonomi semasa yang bergantung besar kepada industri berasaskan komoditi dan industri tokokan nilai rendah yang mengupah pekerja berkemahiran rendah dan separa mahir dengan bayaran upah rendah.

Beliau berkata kaedah baharu menjalankan perniagaan dan mempelbagaikan ekonomi amat dicari dengan menerima pakai kemajuan teknologi seperti Revolusi 4.0 dan pendigitalan ekosistem perniagaan.

Susulan penggunaan teknologi baharu, beliau berkata proses perniagaan akan mewujudkan persekitaran kerja yang baik dan pasaran buruh yang lebih kondusif dan mampan.

“Selain itu, gangguan dalam permintaan buruh bagi graduan baharu untuk memasuki pasaran buruh dijangkakan pada separuh kedua 2020. Oleh itu, penting bagi memastikan golongan ini serta penggangur sedia ada ditangani bagi membendung mereka daripada kegelisahan sosial.

“Bagi manangani ini, satu dana khas amat diperlukan untuk meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula, meningkatkan latihan bagi keusahawanan dan kemahiran digital,” katanya semasa membentangkan Tinjauan Perangkaan Ekonomi Malaysia (MESR) Jabatan Perangkaan Malaysia semasa sidang media menerusi dalam talian hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata pandemik COViD-19 akan memberikan impak yang lebih besar kepada ekonomi kerana ia akan menjejaskan perniagaan dan gaya hidup pengguna yang membawa kepada transformasi bagaimana mereka bekerja, membeli belah dan menjalani kehidupan.

“Sehubungan ini, penting bagi sektor awam dan swasta untuk bersinergi dalam mendepani situasi semasa dan merancakkan semula ekonomi Malaysia dengan segera,” katanya.

Sementara itu, katanya, MESR adalah inisiatif pertama dan terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menyediakan maklumat bermanfaat kepada pihak berkepentingan dan kerajaan dalam mempercepatkan dasar strategik bagi menangani krisis ekonomi dengan cekap dalam mengatasi cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Beliau berkata laporan yang mempunyai maklumat komprehensif mengenai data bagi industri utama di Malaysia bukan sahaja sebagai bahan rujukan kepada penyelidik tetapi juga untuk para pelabur, peniaga, pembuat dasar dan kerajaan.

“DOSM juga sedang dalam usaha untuk mempercepatkan penerbitan bagi data import dan eksport untuk rujukan pihak berkepentingan, dan kami sedang menyusun kaedah yang sesuai.

“Kami juga sedang sediakan ‘dashboard’ khas statistik utama yang akan dikeluarkan dalam bentuk mingguan contohnya kadar komersil bagi hotel-hotel dan jumlah kenderaan di lebuhraya,” kata Mohd Uzir.

Selain itu ketika mengulas mengenai banci penduduk perumahan beliau berkata, DOSM dengan kerjasama agensi negeri telah bersedia untuk menjalankan bancian itu dan kali ini ia akan dilaksanakan secara dalam talian dan akan dimulakan pada 7 Julai ini.

“Data banci adalah penting untuk memastikan keberkesanan penggunaan sumber dan peruntukkan dapat beri kesan optimum, selain itu bagi kerja-kerja di lapangan iaitu bancian dari rumah ke rumah akan dimaklumkan selepas mendapat keputusan daripada kerajaan,” katanya.- BERNAMA