Philippe Coutinho. Foto The Sun.

LONDON –  Perancang tengah Barcelona, Philippe Coutinho dilaporkan semakin menghampiri perpindahan ke Arsenal untuk kembali Liga Perdana Inggeris, lapor Express.

The Gunners berharap dapat mengambil peluang daripada masalah kewangan Barca yang kini berdepan hutang yang besar untuk pembelian secara tetap ke atas bintang Brazil itu.

Kewangan kelab La Liga itu lumpuh menyebabkan pemergian bintang sensasi Lionel Messi dan pemotongan gaji beberapa pemain utama.

Sebelum ini, kelab Itali, Lazio dikhabarkan mahu menyunting Coutinho secara pinjaman sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 31 Ogos lalu.

Skuad kendalian Maurizio Sarri itu juga memiliki opsyen untuk membeli bekas pemain Liverpool itu secara kekal dengan harga £25 juta (RM 146.8 juta) pada musim depan.

Pada 2018, Barca bersetuju membeli bintang Liverpool dari Brazil dengan harga 160 juta euro (RM769.3 juta) iaitu kontrak ketiga termahal sepanjang zaman.

Kontrak untuk pemain tengah berusia 25 tahun itu adalah yang ketiga termahal dalam bola sepak selepas 222 juta euro (RM1.06 bilion) yang dibayar Paris Saint-Germain kepada Barcelona untuk bintang Brazil, Neymar dan 180 juta euro (RM865.5 juta) yang akan dibayar PSG kepada Monaco untuk Kylian Mbappe sebaik tempoh pinjaman pemain Perancis itu ke kelab juara Ligue 1 itu berakhir. – MalaysiaGazette