Mehmet Durakovic.

KUALA LUMPUR- Perebutan posisi naib juara CIMB Liga Super antara Perak dan Kedah di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad ini menjadi elemen persaingan paling menarik untuk disaksikan pada minggu terakhir Liga Malaysia.

Hanya dipisahkan satu mata buat kedua-dua pasukan, pemenang bukan sahaja meraih kedudukan tempat kedua namun paling penting, salah satu daripada dua slot yang ditawarkan ke Piala AFC pada musim 2021.

Bagi ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, beliau tidak mahu merasai sebarang tekanan buat masa ini biarpun sedar hanya kemenangan sahaja mampu membawa skuad The Bos Gaurus berada di tempat kedua CIMB Liga Super.

Berbekalkan momentum yang dibina sejak empat perlawanan terakhir, Mehmet berharap situasi itu mampu menjadi azimat buat Perak walaupun mereka terpaksa meratapi ketiadaan ketua pasukan, Shahrul Saad ekoran digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

“Moral pemain buat masa ini berada di tahap menakjubkan ditambah dengan semangat yang mereka tampilkan ketika mampu bangkit daripada ketinggalan tiga gol sebelum seri 3-3 berdepan Pahang selain berjaya menang dalam tiga perlawanan sebelum itu.

“Jadi, saya tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada pemain walaupun sedar hanya kemenangan akan membawa kami berada di tempat kedua kerana mereka telah memberikan segalanya dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, ” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mehmet mengakui ketiadaan Shahrul umpama satu kehilangan besar kepada Perak bagi menghadapi Kedah namun beliau mendapat sedikit kelegaan apabila penyerang import, Guiherme de Paula dijangka sempat pulih daripada masalah hamstring.

“Buat masa ini saya belum memikirkan siapa yang akan menggantikan Shahrul dan sememangnya ketiadaan dia, agak merumitkan perancangan saya kerana dia antara tonggak paling penting di bahagian pertahanan.

“Cuma saya gembira mendapat perkhabaran yang de Paula semakin positif dalam latihan dan peluangnya kini 50-50 untuk diturunkan bagi bertemu Kedah.

“Saya tidak mahu berasa terlalu gusar kerana akhirnya, bola sepak adalah sukan berpasukan dan apa yang paling penting, bagaimana pemain saya beraksi antara satu sama lain pada perlawanan itu nanti, “ katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan Kedah, Irfan Zakaria, tidak rela menjadikan keputusan seri sebagai matlamat utama pasukan sebaliknya mahu mendapatkan tiga mata penuh bagi membawa skuad Lang Merah merasai saingan Piala AFC pada musim 2021.

Namun Irfan sedar tugas berat bakal menantinya pada kali ini untuk menjaga kelibat Shahrel Fikri, penyerang Perak yang semakin berada di puncak prestasi selepas meraih lima gol dalam dua perlawanan terakhir CIMB Liga Super.

“Saya cukup mengenali Shahrel dan memang buat masa sekarang, semua orang boleh lihat dia berada di tahap terbaik, maka saya dapat rasakan bukan satu tugas mudah bagi mengawal Shahrel.

“Tengok dalam beberapa perlawanan yang lalu, sentuhan penyudah dimiliki Shahrel ternyata semakin tajam dan saya rasa kita tidak boleh berikan banyak ruang kepadanya.

“Kami datang ke Ipoh kerana mahu mendapatkan kemenangan dan bukannya sekadar satu mata, malah saya secara peribadi cukup teruja mahu beraksi di Piala AFC.

“Memori ketika membantu Kedah di saingan play-off Liga Juara-juara Asia (ACL) membuatkan saya cukup teruja untuk lalui pengalaman yang sama pada musim depan,” katanya.

Antara aksi berlangsung pada Sabtu ini membabitkan Melaka yang menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Hang Jebat selain PJ City FC bertemu PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya manakala di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor bakal melayani kunjungan Felda United FC.

Terengganu FC yang berpeluang menamatkan saingan di tangga ketiga CIMB Liga Super akan menentang Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad sementara aksi Sabah dan UiTM FC di Stadium Likas terpaksa ditunda ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula sejak 7 Oktober lalu. – MalaysiaGazette