Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat pinjaman dengan Jepun dalam mata wang yen boleh menyebabkan risiko negara menjadi muflis.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata, ia adalah disebabkan kadar tukaran dengan wang ringgit negara yang tidak stabil.

“Saya hairan kenapa YAB Tun Mahathir memohon pinjaman dalam matawang yen untuk menyelesaikan hutang negara.

“Pertama hampir semua hutang kerajaan adalah dalam ringgit. Hanya 2 peratus daripada RM700 bilion hutang kerajaan dalam mata wang asing termasuk yen.

“Kedua, risiko untuk negara muflis lebih tinggi apabila kita meminjam dalam matawang asing seperti Yen kerana terdedah kepada naik turun kadar tukaran matawang Ringgit-Yen dan juga kadar faedah negara Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataannya yang dimuatnaik di akaun Facebooknya semalam.

Semalam, Mahathir mengumumkan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan meneliti permohonan kredit yen daripada Malaysia untuk membantu masalah kewangan negara.

Katanya, bantuan Jepun itu tidak semestinya dapat melangsaikan hutang negara yang mencecah RM1 trilion, namun ia akan dapat membantu usaha melunaskan hutang tersebut.

Shahril dalam pada itu menambah, negara tidak akan muflis jika pinjaman dibuat dalam mata wang Malaysia.

“Dalam bahasa mudahnya, kita individu kalau hutang, kita takda bank sendiri. Kerajaan ada bank sendiri – Bank pusat yang boleh “cetak” Ringgit bila-bila masa (Cuma jangan terlalu ghairah sehingga inflasi tinggi). Sebab tu teknikalnya, sesebuah Kerajaan mana-mana dunia takkan boleh “default” atau muflis dari hutang matawang sendiri,” jelasnya.-MalaysiaGazette