Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Ceramah Perdana Himpunan Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – “Buat masa ini, pisau dan mentimun di tangan Dr Mahathir tetapi bila tiba pilihan raya akan datang, pisau ini sudah di tangan rakyat.

“Itu kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai keikhlasan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai perpaduan orang Melayu.

Malah menurut Mohamad, Perdana Menteri boleh menubuhkan sebuah kerajaan baharu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pas serta rakan dari Sabah dan Sarawak sekiranya beliau ikhlas mahukan kedudukan Melayu dan Islam dimartabatkan.

Beliau berkata demikian dalam status Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut menurutnya, UMNO dan Pas harus diberi peranan signifikan dalam memulihkan negara ini, bukan sekadar menjadi penumpang sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.

“Terserahlah kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan kerana buat masa ini, majoriti orang Melayu/Islam sudah membuat keputusan menolak PH (Pakatan Harapan),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Mahathir tidak mencadangkan cara Melayu bersatu dan berpendapat cara sesuai kelompok kecil kena bersama dengan kelompok lebih besar untuk tujuan itu.

“Secara rasionalnya, kumpulan kecil umat Melayu Islam harus menyertai kelompok yang lebih besar. Hari ini kumpulan terbesar orang Melayu Islam berada dalam gagasan Penyatuan Ummah.

“Saya yakin UMNO dan Pas tiada masalah untuk menerima penyertaan Dr Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam agenda besar umat Melayu Islam ini.

“Persoalannya, apakah Dr Mahathir sanggup berkorban jawatan dan kepentingan bagi mengangkat semula kuasa umat Melayu Islam di negara ini?

“Insya-Allah jika Dr Mahathir jujur dan mahu melihat Melayu Islam menjadi kuasa politik yang kuat, beliau tiada masalah berkompromi dengan UMNO dan Pas,” katanya.

Mohamad juga melihat Kongres Maruah Melayu yang berlangsung turut mengesahkan segala dakwaan UMNO dan Pas selama ini bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kepentingan masyarakat Melayu dan pribumi lain sedang terhakis di bawah PH.

“Rumusan ahli akademik dan ahli politik biasa-biasa ini turut diakui sendiri Dr Mahathir dalam ucapan penutupnya

“Walaupun Tun Mahathir cuba meletakkan kesalahan tersebut kepada orang Melayu dan UMNO, namun ia tidak dapat menafikan kelemahan kerajaan PH,” katanya.- MalaysiaGazette