Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua kiri) melakukan gimik Pelancaran Program Jualan Malaysia 2021 bersempena Jom Shopping Raya diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel (kiri) di Jakel, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan nilai jualan Program Jualan Malaysia (PJM) sebanyak RM120 bilion pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada tahun lalu, PJM mencatatkan nilai jualan pada kadar RM135.9 bilion iaitu melebihi sasaran nilai jualan yang ditetapkan oleh Kementerian iaitu sebanyak RM100 bilion.

Jelas beliau, pelaksanaan PJM tidak akan berjaya sekiranya tiada sokongan penuh daripada seluruh pemain industri peruncitan daripada pelbagai format perniagaan.

“Kami menyasarkan nilai jualan PJM sebanyak RM120 bilion iaitu kurang daripada RM135 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu kerana tiada nilai jualan sepanjang tiga bulan tahun ini dan kementerian perlu realitik.

“Namun pada tahun lalu, sasaran kami hanya RM100 bilion namun berjaya mengatasi jumlah tersebut.

“Komitmen tinggi dari semua pihak ini penting dalam telah menggalakkan lagi pertumbuhan sektor peruncitan yang terjejas kini.

“Berdasarkan sambutan baik dan impak program ini kepada sektor peruncitan negara, KPDNHEP berpandangan program ini perlu diteruskan lagi untuk edisi kedua tahun ini,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Program Jualan Malaysia 2021 bersempena Jom Shopping Raya di Jakel, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 APRIL 2021.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Jualan Malaysia @ Raya di Jakel Mall di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel,

Alexandar menambah, bagi tahun ini, pelaksanaan PJM ini berpandukan lima objektif utama iaitu membantu industri merancakkan aktiviti sektor peruncitan yang terjejas sepanjang tempoh Perintal Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) mencuba sampin selepas Pelancaran Program Jualan Malaysia 2021 bersempena Jom Shopping Raya diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel (kanan) di Jakel, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 APRIL 2021.

Tambah beliau, pada masa sama, program itu mengembalikan keyakinan pembeli dan pengguna dan mempromosi penggunaan aplikasi atas talian MySales Tracker yang dibangunkan KPDNHEP kepada pihak industri dan pengguna.

Menurutnya, PJM juga  mendidik pengguna supaya berbelanja berhemah dalam musim perayaan dan advokasi berterusan dalam norma baharu bagi sektor peruncitan di kalangan pengguna.

“Justeru, KPDNHEP sangat berbesar hati untuk mengumumkan pada tahun 2021, PJM memfokuskan jualan kepada lima segmen perayaan utama Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Keamatan, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Hari Deepavali dan Hari Krismas.

“Konsep ini dipilih berdasarkan maklum balas persatuan dan pemain industri sepanjang pelaksanaan PJM tahun 2020 yang memfokuskan segmen bertemakan jenis produk peruncitan.

“Segmen Tahun Baru Cina tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan PKP. Pemilihan Jakel bagi pelancaran PJM 2021 dilihat signifikan dengan salah satu segmen iaitu Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Alexander turut memberitahu, PJM kali ini juga turut di jalankan secara bersama Kempen Beli Barangan Malaysia, Program Pembudayaan Norma Baharu Sektor Peruncitan. Pengisian PJM 2021 juga meliputi program shopping street/district, aktiviti promosi, cabutan bertuah dan e-Voucher. – MalaysiaGazette