Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kiri) diberi tepukan gemuruh selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 06 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Selepas beberapa insiden yang berlaku pada hari kedua Kongres Nasional PKR hari ini, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti yang ditubuhkan beliau kini mungkin mempunyai ramai yang bersifat provokatif.

“Kita ada banyak agen provokatif. Saya tidak tuduh sesiapa biar polis yang jalankan siasatan,” katanya dalam sidang media selepas program penutup Kongres Bersama antara Wanita dan AMK, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu diminta mengulas mengenai beberapa insiden yang berlaku pagi tadi sehingga melarat ke pengakhiran sesi tengahari tadi.

Kongres AMK dicemari beberapa insiden pergaduhan yang bermula dengan kehadiran Pengerusi Tetap AMK yang dipecat, Muhammad Mizan Adli Mohd Noor.

Mizan tidak dibenarkan memasuki dewan persidangan Kongres AMK pagi tadi sehingga menyebabkan berlaku drama tolak menolak sebelum Kongres itu bermula.

Lebih memburukkan keadaan ketika kongres berehat pada jam 12.30 tengahari, berlaku insiden pergaduhan antara dua pihak di perkarangan MICT.

Insiden itu menyebabkan seorang ‘pemerhati’ berbaju T-shirt hitam berdarah di kepala dan seorang lagi ahli yang memakai kemeja rasmi parti cedera di muka ekoran dibaling batu.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, pihaknya kesal dengan beberapa siri insiden yang berlaku hari ini.

“Kedua-dua mereka sudah gugur daripada jawatan, jadi tak ada apa-apa isu, tapi kita nak buatkan supaya sesiapa yang menyebabkan provokasi, reaksi akan diambil tindakan tegas supaya ini bukan membudayakan perkara ini.

“Kita mahukan demokrasi kita dengan baik, aman, selesa, itu kita mahukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette