Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad (kanan) bersama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Seri Mohd Hashim Abdullah (kiri) bergambar kenangan di hadapan bilik gerakan PRU 14 pada sidang media Khas Bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2018.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini membuka platform baharu untuk orang ramai mengadu sebarang rasuah dan salah laku kuasa calon atau pemimpin politik apabila melancarkan Pusat Bilik Gerakan Operasi PRU-14 hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad berkata, pusat itu beroperasi 24 jam berkuatkuasa serta merta secara serentak di pejabat SPRM setiap negeri termasuk di Ibupejabat SPRM Putrajaya.

“Ia merupakan peluang untuk orang ramai supaya menyalurkan apa jua maklumat yang berkaitan dengan unsur rasuah atau salah guna kuasa melibatkan seseorang individu, calon atau mana-mana parti politik kepada kami.

“Kita mewujudkan e mel khas iaitu [email protected] supaya orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke bilik gerakan ini yang dikendalikan 24 jam oleh SPR dan SPRM atau tampil ke setiap pejabat SPRM negeri ataupun talian menerusi 03-887 00675 atau fax 88700955.

“Setiap penyalur maklumat akan dilindungi dan hanya maklumat salah laku yang disalurkan sahaja diteliti. Jika terdapat sebarang bukti yang menyokong maklumat itu, kita akan siasat untuk tindakan hukumman,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli juga menjelaskan, setiap maklumat akan ditapis dan diagihkan mengikut suruhanjaya masing-masing.

“Kita SPRM ada bidang kuasa tertentu untuk memantau kes kes rasuah mengikut Seksyen 7 hingga 11 Akta Kesalahan PRU 1954 dan kalau ada aduan tidak bersangkut paut atau tertakluk dengan kami, maka ia akan diserahkan kepada SPR untuk tindakan susulan.

“Dalam bahagian tiga (akta tersebut) jelas menyebut bentuk rasuah iaitu penyamaran, penjamuan, pengaruh tidak wajar dan penyogokan yang mungkin boleh berlaku sama ada sebelum semasa atau selepas PRU untuk diambil tindakan.

“Bagi PRU-13 lalu, majoriti aduan yang diterima SPRM daripada orang awam ialah berkaitan aktiviti rasuah berbentuk penyogokan.

“Kami akan membuat beberapa sesi taklimat untuk menerangkan segala proses pengoperasian Pusat Bilik Gerakan PRU ini selepas ini,” katanya.- MalaysiaGazette