Paul Pogba

LONDON – Paul Pogba tidak akan meninggalkan Manchester United Januari ini tetapi dia akan keluar musim depan, kata agen bintang Perancis itu, Mino Raiola.

Katanya, dia tidak melihat bayangan Pogba akan meninggalkan Old Trafford Januari ini.

“Saya dapat melihat potensi dia meninggalkan Theatre of Dreams semakin tinggi tetapi pada musim hadapan,” katanya.

Masa depan Pogba bersama the Red Devils mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat kelab itu termasuk peringkat pengurusan tertinggi kelab di Carrington, Manchester.

Raiola mula mengapi-apikan situasi itu apabila mendakwa kliennya tidak gembira di OLd Trafford dan masanya bersama kelab itu telah tamat.

Namun Pogba dalam kenyataan terbaharunya menyatakan komitmen bersama Red Devils untuk jangka panjang dan tidak berhasrat meninggalkan kelab itu.

Walaupun Pogba tampil menidakkan segala spekulasi tidak benar yang menyelubungi diri dan kelab itu semalam, Raiola sekali lagi melemparkan pelbagai dakwaan mengenai masa depan pemain itu dan penghijrahan ke kelab lain.

Pogba kini dikhabarkan mempertimbangkan berhijrah ke juara Serie A Itali, Juventus yang dianggap satu penyelesaian tetap untuk kariernya.

“Saya cuba memastikan dia meninggalkan kelab Januari 2021 tetapi sukar berbuat demikian, maka akan tunggu sehingga akhir musim 2021.

“Pogba mempunyai masa depan cerah tetapi adalah sensitif di England pabila membincangkan topik Pogba dan ini hanya perasaan saya,” tegas Raiola.- MalaysiaGazette