KUALA LUMPUR – Sebatang pokok tumbang lalu menghempap 15 buah kereta yang diletakkan di tepi jalan di Bandar Sri Damansara, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, kejadian berlaku pada jam 12.51 tengah hari tadi.

Ujarnya, ketika kejadian seorang lelaki didapati terperangkap di dalam keretanya.

Bagaimanapun Fakhrudin berkata, mangsa berkenaan berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba tanpa kecederaan.

“Siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati ada seorang lelaki warganegara tempatan berusia 30 tahun telah terperangkap di dalam sebuah kereta Perodua Myvi kerana mangsa sedang memandu melalui jalan tersebut dalam keadaan hujan,” katanya menerusi kenyataan.

Fakhrudin berkata, kesemua pemilik 15 kenderaan berkenaan diminta tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.-MalaysiaGazette