ismail sabri yaakob
Ismail Sabri Yaakob

JEMPOL – Polemik berkaitan agama dan kaum semakin berkurangan setelah gagasan Keluarga Malaysia diperkenal sejak lebih setahun lepas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, menerusi perkembangan positif itu, kerajaan boleh memfokus kepada usaha memulih dan membangunkan ekonomi negara pasca COVID-19 manakala rakyat boleh memberi perhatian untuk meningkatkan ekonomi mereka.

“Untuk pastikan kestabilan politik, saya perkenalkan slogan Keluarga Malaysia, kita hidup bersama dan tiada rakyat dipinggirkan dari segi kemajuan sama ada ekonomi dan sebagainya… Melalui Keluarga Malaysia, kita dah kurang dengar tentang polemik agama dan kaum.

“Jadi kita tidak tumpukan kepada perkara yang tidak penting seperti masalah perkauman, agama dan sebagainya. Kesan daripada kestabilan politik itu, ekonomi Malaysia berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jamuan Makan Malam Keluarga Malaysia yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif. – Bernama