Zainol Samah

MELAKA – Polis Melaka menerima lima laporan daripada pengundi yang mendakwa dihalang mengundi setelah nama mereka digunakan individu lain di lima pusat pengundian di negeri ini, di sini, hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ia melibatkan seorang pengadu wanita dan empat lelaki berusia antara 23 hingga 64 tahun.

Menurutnya, kejadian disedari mereka setelah semakan mendapati kesemua nama mereka ditanda sebagai hadir di lima pusat pengundian berkenaan antara pukul 9 pagi dan 2.30 petang tadi.

“Hasil semakan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui kad pengenalan mendapati senarai nama-nama pengundi berkenaan dapati hadir sedangkan kelima-lima jari pengadu masih belum mempunyai tanda dakwat kekal.

“Kejadian berlaku di lima pusat pengundian iaitu di Balai Raya Taman Seri Cempaka Peringgit, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam, Sekolah Menengah Tun Mutahir, Batu berendam, SK Convent Infant Jesus 1, dan SK Tanjung Minyak 2,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Tambahnya, semua kejadian berlaku di daerah Melaka Tengah antara jam 9 pagi hingga 2.30 petang.

“Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka telah membuka lima kertas siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1954 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette