Polis IPK Johor telah berjaya membuat tangkapan terhadap sepuluh ahli kongsi gelap geng 21 dibawah Ops Cantas.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 indvidu yang menjadi ahli Geng 21 ditahan menerusi Ops Cantas bagi membanteras kegiatan kumpulan kongsi gelap di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka ditahan dalam lapan serbuan di sekitar Kluang, Yong Peng dan Johor Bahru pada 16 Januari lalu.

Operasi bermula pukul 2.30 hingga 3.30 pagi itu melibatkan pasukan D7 dan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama-sama dengan Bahagian Siasatan Jenayah.

“Daripada serbuan ini, polis telah berjaya memberkas sepuluh lelaki bangsa India yang merupakan ahli kongsi gelap Geng 21 di Kluang. Kesemua yang ditangkap berusia antara 29 hingga 44 tahun.

“Hasil dari semakan rekod jenayah, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai rekod lampau dalam kes penyalahgunaan dadah serta jenayah kekerasan,” katanya dalam satu sidang rasmi di laman Facebook polis Johor hari ini.

Menurut Ayob Khan, dalam serbuan yang sama, polis turut merampas dua helai baju lambang Geng 21,  sebanyak 17 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan dua bilah pisau lipat.

Daripada hasil tangkapan, lapan suspek telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan kini masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut, katanya.

“Manakala, satu suspek telah dituduh di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 iaitu kesalahan menganggotai sesuatu kumpulan kongsi gelap dan tertuduh mengaku bersalah di mahkamah dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,500,” ujarnya. -MalaysiaGazette