Foto Sin Chew Daily.

KUALA LUMPUR – Pelakon kelahiran Malaysia yan popular di Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh meluangkan masa sempena cuti perayaan Krismas dengan melakukan kerja pembersihan pasca banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam semalam.

Menurut laporan Astro Awani, pelakon yang menempa nama menerusi filem James Bond itu turut hadir bersama jutawan terkenal tanah air Tan Sri Vincent Tan di di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda 2.

Difahamkan, mereka berdua bertindak bersama pasukan 502 Askar Wataniah di bawah Divisyen Ke-4 Infantri Malaysia (4 Div), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Yayasan Taiwan Buddist Tzu-Chi Malaysia.

“Ini semangat Krismas yang sebenar. Terima kasih kepada semua.

“Saya amat terharu melihat orang ramai yang bersama di sini tidak kira agama, bangsa atau warganegara yang turun membantu mangsa banjir,” kata pelakon berusia 59 tahun itu menurut laporan Astro Awani.

Selain memiliki personaliti menawan dan berwajah awet muda, kehebatan beliau di dunia perfileman antarabangsa tidak perlu dipersoalkan lagi selepas tampil dalam beberapa filem popular.

Antaranya ialah Crazy Rich Asians, Memoirs of a Geisha, Tomorrow Never Dies, Marvel Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings dan banyak lagi. – MalaysiaGazette