KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan koleksi setem terbaru berjudul ‘Seni Ukiran dan Kraf’ mulai esok di pejabat pos seluruh negara.

Pengeluaran koleksi setem ini adalah sebahagian daripada usaha Pos Malaysia dalam memupuk kesedaran dalam kalangan peminat setem dan orang ramai terhadap pentingnya menjaga dan menghargai warisan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, koleksi itu mempunyai rekaan tiga lembaran yang mengandungi 20 keping setem setiap satu, menampilkan rekaan Seni Ukiran Kayu, Seni Kraf Seramik dan Seni Anyaman Buluh.

Pos Malaysia akan menghasilkan 750,000 keping setem (250,000 keping bagi setiap satu rekaan) dengan nilai 60 sen, 80 sen dan RM1.00 bagi koleksi ini.

Selain tiga rekaan tersebut, Lembaran Mini (MS) khas akan menampilkan Seni Kraf Logam yang menggunakan pelbagai jenis logam seperti perak, besi, pewter, tembaga dan emas.

Keindahan kraf logam yang indah dipamerkan dalam ilustrasi Kalung Rantai dengan cetakan timbul kosong (blind embossing) dan varnis ultra ungu (UV varnish).

Menurutnya, hanya 22,000 salinan MS akan dihasilkan dan ia boleh didapati pada harga RM5.00 sehelai. Bagi para pengumpul tegar, tanda pembatalan eksklusif bercorak ukiran eksklusif tersedia bagi menambah nilai estetika koleksi yang dibeli.

Manakala sebanyak 27,000 salinan Sampul Surat Hari Pertama (FDC) boleh didapati pada harga RM2.90 setiap satu manakala FDC bersama MS boleh didapati pada harga RM5.50 setiap satu.

Sebanyak 1,500 folder juga dijual pada harga RM6.00 setiap satu. Set folder lengkap boleh dibeli pada harga RM67.40 sebuah.

Kesemua setem dan produk filateli ini tersedia untuk pembelian di pejabat pos besar, pejabat pos terpilih di seluruh negara dan pembelian dalam talian di eziemall.com, di bawah pautan “Setem & Koleksi”. – MalaysiaGazette