Gambar hiasan

KUANTAN – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pertama di Jerantut telah dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (SMK PPPTR) pada pukul 12 tengah hari tadi.

Angkatan Pertahan Awam (APM) Jerantut memaklumkan ia berikutan kenaikan paras air di Sungai Tekam dan Sungai Siam di daerah itu telah menjejaskan beberapa rumah di kawasan kampung berhampiran.

Dalam satu kenyataan, dilaporkan seramai 12 mangsa daripada lima keluarga telah ditempatkan di PPS terbabit membabitkan dua orang ibu yang baru bersalin dan seorang warga emas.

“Terdapat dua buah rumah telah dinaiki air. Pemindahan dibuat kerana dikhuatiri jika naik air akan menyukarkan urusan perpindahan kelak,” katanya.

Selain itu, APM Jerantut juga memberitahu, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut juga telah dibuka dengan kekuatan separuh.

Setakat pukul 4 petang tadi, sebanyak lima buah PPS masih dibuka di Kuantan yang menempatkan seramai 377 mangsa banjir daripada 98 keluarga.

PPS berkenaan antaranya, PPS Balairaya Kampung Pahang (30), Pps KAFA Jaya Gading (80), PPS Dewan Melati Penjara Penor (83), PPS Balairaya Sungai Soi (28) dan PPS Dewan Mat Kilau (106). – MalaysiaGazette