Hospital Canselor Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Penggunaan nama Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) secara rasminya telah diberhentikan serta-merta dan digantikan dengan Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Perubahan itu bagi memantapkan proses transformasi lonjakan keupayaan negara di dalam bidang teknologi kesihatan dan perubatan dengan menggerakkan pembentukan sebuah ekosistem teknologi dan penyelidikan kesihatan unggul dalam satu kampus bersepadu.

Kampus Kuala Lumpur UKM ini menempatkan empat fakulti berasaskan perubatan dan kesihatan iaitu Fakulti Perubatan, Fakulti Farmasi, Fakulti Pergigian dan Fakulti Sains Kesihatan, bersama-sama dua kolej kediaman pelajar iaitu Kolej Tun Dr Ismail dan Kolej Tun Syed Nasir, dan dua buah hospital pengajar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, serta sebuah pusat kecemerlangan pendidikan tinggi, Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI).

Pejabat Pro Naib Canselor Kampur Kuala Lumpur berkata, struktur kampus ini telah diwujudkan pada tahun 2017, dengan penstrukturan semula entiti PPUKM balik kepada pusat tanggungjawaban berasingan yang asal iaitu Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (yang kemudian dijenamakan semula sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz) dan Fakulti Perubatan, sesuai dengan pertumbuhan pesat yang berlaku di kampus zon Cheras pada ketika itu.

Model kampus pendidikan tinggi berteknologi tinggi seperti ini menjadi pemangkin kepada pemantapan penguasaan teknologi terkehadapan di negara-negara moden, berupaya menarik pelaburan dan bakat anatarabangsa dan menujah aktiviti penyelidikan.

Sebuah Teknopolis Kesihatan sedang dirancang untuk dibangunkan di Kampus Kuala Lumpur UKM, yang akan dimulakan dengan pemindahan kolej kediaman dan tiga fakulti ke Cheras, diunjurkan akan berlaku dalam beberapa tahun lagi, katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette