Pratama Arhan. Foto www.affsuzukicup.com.

KUALA LUMPUR – Prestasi cemerlang pemain pertahanan kiri Indonesia, Pratama Arhan ketika dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 baru-baru ini telah menarik minat kelab dari Korea Selatan untuk mendapatkan khidmatnya.

Laporan media Korea Selatan, Footballost.co.kr menyebut beberapa kelab K-league sedang menimbang untuk mendapatkan khidmat pemain yang berusia 20 tahun itu.

Kelab Pratama, PSIS Semarang turut mengakui pemainnya itu diminati oleh kelab K-League 1, Seongnam FC namun sedia melepaskan jika ada kelab dari luar negara membuat tawaran rasmi.

Difahamkan Pratama Arhan masih mempunyai baki kontrak sehingga bulan Disember 2023 bersama kelab tersebut.

Selain Seongnam FC, Pratama Arhan turut dikaitkan dengan perpindahan ke Daejeon Hana Citizen yang beraksi dalam saingan divisyen 2.

Indonesia ketika ini hanya mempunyai seorang pemain yang beraksi di sana iaitu Asnawi Mangkualam bersama Ansan Greeners.

Sementara itu, saingan Piala AFF 2020 yang disiarkan secara langsung di Korea Selatan melalui saluran SBS sekaligus memberi peluang kepada pencari bakat K-League untuk menonton aksi pemain Indonesia. – MalaysiaGazette