Jair Bolsonaro. foto Agensi

SAO PAULO – Presiden Brazil, Jair Bolsonaro berhadapan dengan kritikan hebat berhubung pelan kerajaan dalam program vaksinasi Covid-19 di negara itu.

Brazil merupakan negara kedua tertinggi dalam merekodkan kematian akibat pandemik.

Brazil menyiarkan pelan imuninasinya pada Sabtu namun pelan tersebut mendapat kritikan hebat kerana mempunyai terlalu banyak kelemahan termasuk dari segi tarikh ia akan dimulakan serta butiran bagaimana ia boleh mencapai sasaran 70 peratus populasi.

Ini sekali gus mengundang kecaman terbaharu kepada Bolsonaro yang mana sebelum ini amat terkenal menafikan nasihat pakar-pakar mengenai Covid-19.

Malah beliau turut mengumumkan tidak merancang untuk mendapat vaksin.

“Cukuplah buat perangai mengenai vaksin. Kebodohan membunuh oleh Presiden Jair Bolsonaro sudah melampau batas”, tulis pengarang di sebuah artikel muka depan akhbar utama, Folha de Sao Paulo.

Manakala akhbar pesaing, Estado de Sao Paulo mengkritik kerajaan sebagai sangat tidak cekap.

“Ketika berhadapan dengan krisis kesihatan terburuk pada zaman ini, tindakan kerajaan akan dikenang sebagai tindakan paling teruk dalam semua hal termasuklah pelan vaksinasi mereka,” katanya.

Pelan yang dibentangkan kerajaan atas arahan Mahkamah Agung itu memberikan gambaran kasar mengenai populasi dan vaksin-vaksin yang bakal digunakan Brazil dalam program imunisasi awal.

Ia mengandungi empat fasa yang menyasarkan kumpulan sensitif termasuk pekerja kesihatan, orang tua, Orang Asli dan para guru seramai 51.6 juta orang atau kira-kira 24 peratus daripada populasi sebanyak 212 juta.

Pelan tersebut menyatakan, sasaran utamanya adalah untuk memvaksin lebih 70 peratus populasi namun tidak menyatakan sebarang butiran terperinci mengenai cara untuk mencapai matlamat berkenaan.- MalaysiaGazette