Azhar Azizan Harun
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun melihat peta Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sidang Media Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Serbaguna, Menara SPR, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 06 MAC 2019

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan diadakan pada 13 April depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 30 Mac manakala tarikh mengundi awal pada 9 April

Seramai 20,926 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 25 Februari.

Daripada jumlah itu, 20,804 adalah pengundi biasa, 118 pengundi awal, dan 4 orang adalah pengundi luar negara.

“16 pusat mengundi akan dibuka yang mengandungi 55 saluran untuk memudahkan mengundi.

“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.8 juta,” katanya pada sidang media PRK DUN Rantau di Ibu Pejabat SPR hari ini.

Pengawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus akan dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK.

SPR akan menggunakan Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Seri Sendayan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi.

Dalam pada itu, Azhar berkata, SPR akan menyiarkan proses penamaan calon, pengeluaran kertas undi pos, pengundian awal, semakan peti undi, pengundian, pengiraan undi dan keputusan PRK ini secara langsung melalui Facebook live SPR.

PRK DUN Rantau diadakan setelah Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak sah dan terbatal serta mengarahkan pilihan raya semula diadakan.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April, selepas calon PKR, Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR.

Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 bagi membatalkan keputusan SPR mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang DUN Rantau.

Katanya, beliau tidak pernah dimaklumkan SPR atau ejennya yang mereka memerlukan pas untuk memasuki pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau. -MalaysiaGazette