Parti Rakyat Malaysi (PRM) mengumumkan akan bertanding 15 kerusi DUN Pulau Pinang pada PRN nanti.

GEORGE TOWN – Parti Rakyat Malaysia (PRM) bakal bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Antara kerusi tersebut DUN Sungai Pinang, Air Putih, Pulau Tikus, Pantai Jerejak, Teluk Bahang, Seri Delima, Air Itam, Batu Maung, Bayan Lepas dan Tanjong Bungah manakala lima kerusi DUN di tanah besar tidak diumumkan.

Selain itu, parti berkenaan turut mengumumkan Ketua PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu sebagai pencabar Lim Guan Eng bagi DUN Air Putih.

Timbalan Presiden PRM, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, pihaknya mendapat maklum balas daripada segenap lapisan masyarakat termasuk tokoh koporat serta badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa kerajaan DAP bersifat angkuh dalam pentadbiran mereka di negeri ini.

Mohamad Ezam.

Kata beliau, rata-rata mendakwa tiada pembangkang yang kuat untuk menentang pimpinan DAP Pulau Pinang sekali gus memanggil PRM agar menjadi pihak semak dan imbang menerusi PRN akan datang.

“Saya sendiri akan memberi tumpuan khususnya di beberapa kerusi DAP bahagian pulau agar saingan kuat diberikan kepada mereka ketika PRN nanti.

“Jika dulu, MCA merupakan musuh tradisi DAP tapi kini mereka antara komponen dalam Kerajaan Perpaduan manakala Gerakan pula tidak menampakkan saingan yang kuat dalam menghadapi DAP yang dikatakan Pulau Pinang ini kubu mereka.

“Kita terpanggil untuk menampilkan calon pada PRN kali ini bukan untuk merampas atau melumpuhkan kerajaan negeri sedia ada cuma mahupun konsep semak dan imbang dalam pimpinan DAP,” katanya pada sidang media di Pulau Tikus hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pencabar Guan Eng, Mohamad Ezam berkata, tindakan Yee Cheu mahu menentang bekas ketua menteri itu bukan senang memandangkan pengaruh individu tersebut.

“Ikutkan beliau (Yee Cheu) boleh sahaja pilih kawasan yang mudah untuk ditandingi tapi kita nak buktikan bahawa kita serius menentang pimpinan DAP demi kesejahteraan semua rakyat dalam mendapat kerajaan yang seimbang,” kata beliau. – MalaysiaGazette