ADUN Pantai Remis, Wong May Ing pada sidang media selepas selesai Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan Perak perlu mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan Program 1000 Malam kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Wong May In berkata, projek perintis perlu dilaksanakan untuk melihat kejayaannya kerana model itu telah diguna pakai di luar negara.

Program dengan kerjasama pengusaha hotel itu bukan sahaja dapat memberi pendapatan kepada industri pelancongan sebaliknya menjimatkan kos untuk membina rumah perlindungan dan menyelenggarakannya.

“Program 1000 Malam ini boleh pertimbangkan kerana Perancis telah memperkenalkan 20,000 malam namun tempoh lama itu menyebabkan kos itu agak tinggi.

“Sebagai percubaan, kerajaan boleh menggunakan 1,000 malam dengan berurusan bersama pengusaha hotel di mana pada sama mereka dapat bisnes dan ada pendapatan manakala kerajaan negeri pula boleh jimat kos dan cuba cadangan ini

“Maksud Program 1,000 Malam ini boleh guna di mana-mana tempat di mana kerajaan pertimbangkan berapa lama mangsa dijaga oleh pegawai Jabatan Kabajikan Masyarakat, NGO dan polis.

“Mungkin ada mangsa tinggal seminggu di hotel di mana ada mangsa tinggal dua hari di hilir Perak, ada mangsa tinggal lima hari di Kuala Kangsar dengan jumlah malam terkumpul 1,000 malam sebagai projek printis untuk melihat kejayaan dan respon rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, Perak mencatatkan 551 kes keganasan rumah tangga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.

Jelas beliau, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 277 kes dicatatkan pada Mac hingga Disember 2020.

Menurutnya, jumlah kes bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu pula sebanyak 274 kes.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, kes keganasan rumahtangga yang dilaporkan ialah 133 kes iaitu 63 kes bagi tempoh Januari hingga Disember 2020 dan 70 kes pada Januari hingga November lalu.

Sementara itu, mengulas lanjut, May In mendakwa, banyak program untuk wanita dan warga emas di negeri itu masih lagi kabur dan tidak kelihatan rangka perancangan pada tahun depan.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, kerajaan negeri tidak perlu menunggu-nunggu ‘program perintis’ daripada kerajaan pusat kerana Perak telah memiliki Sekretariat Pembangunan Wanita (SPW) sendiri.

“Dalam Bajet 2022 Perak, memang ada peningkatan peruntukan untuk SPW sebanyak RM800,000 berbanding RM400,000 sebelum ini. Namun saya berpendapat ia masih tidak mencukupi untuk menjalankan program-program wanita pada tahun depan.

“Sebelum ini, kita buat Program Mamogram dengan menambah peruntukan sehingga RM3 juta namun program itu tidak nampak sama ada diteruskan atau tidak.

“Malah Projek Retirement Village atau Pusat Penjagaan Warga Emas dan Pusat Latihan Pengurusan Warga Emas di Ulu Slim sebagai Mini Fukuoka tidak diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette