Penduduk kampung mengadukan masalah kepada Shamsul Iskandar (dua dari kiri) di mengenai isu yang didakwa berpunca daripada projek pembinaan 700 unit rumah di Kampung Seberang Anak Air, Ayer Molek, di sini hari ini.

MELAKA – Keselamatan kira-kira 300 penduduk dua buah kampung, iaitu Kampung Seberang Anak Air dan Kampung Solok Paya Baru, Ayer Molek, di sini, terancam yang didakwa berpunca daripada pembangunan kawasan perumahan di situ sejak tiga bulan lalu

Penduduk mendakwa, projek pembinaan kira-kira 700 unit rumah itu mengakibatkan mereka tidak lagi dapat menikmati ketenteraman selama ini dek kerana masalah banjir lumpur dan pencemaran debu yang semakin kerap berlaku.

Tidak cukup dengan itu, laluan utama yang digunakan setiap hari untuk ulang alik ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah juga ‘diragut’ kenderaan berat menyebabkan mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.

Ahmad Haikal Abd Ajis

Penduduk Kampung Seberang Anak Air, Ahmad Haikal Abd Ajis, 30, berkata, pembinaan kawasan perumahan itu yang lebih tinggi daripada kampung menyebabkan air lumpur daripada tapak itu melimpah ke jalan utama kampung berkenaan.

“Bila cuaca panas pula, debu tanah merah daripada lumpur itu berterbangan sehingga mengancam kesihatan penduduk kampung.

“Sejak projek ini bermula kira-kira tiga bulan lalu, saya dan anak-anak berusia dua, empat dan enam tahun kerap demam kerana terpaksa menghirup udara kotor.

“Nak jemur baju pun kadang-kadang terpaksa keringkan dalam rumah kerana di luar penuh debu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Seberang Anak Air, di sini, hari ini.

Misdar Tahir

Warga emas, Misdar Tahir, 63, pula mendakwa, banjir lumpur mengakibatnya penduduk kampung mengalami kerugian apabila tidak dapat mengutip hasil sawit dan menoreh getah di kampung terbabit kerana kawasan kebun dinaiki air setiap kali hujan lebat.

“Itu baru kesan jangka pendek yang mana bila banjir sahaja nak menoreh getah tak boleh, keluarkan hasil sawit pun tak boleh.

“Untuk jangka panjang pula, terutamanya di kawasan-kawasan paya pokok getah dan kelapa sawit akan mati atau hasil juga akan terjejas,” katanya.

Danial Yaacob

Seorang lagi penduduk, Danial Yaacob, 37, mendakwa, penduduk terpaksa menggunakan jalan yang lebih jauh untuk bekerja dan menghantar anak ke sekolah kerana bimbang mengenai keselamatan ekoran jalan tersebut turut digunakan kenderaan berat.

“Kami tak halang projek ini, tapi masalahnya bila sampai terpaksa bertembung dengan kenderaan yang menjadi laluan utama lori keluar masuk tanpa ada pengawasan membuatkan kami takut.

“Nak hantar anak ke sekolah pun terpaksa guna jalan lain yang masanya lebih sekali ganda daripada menggunakan laluan ini,” katanya.

Penduduk mendakwa, masalah itu sudah diajukan kepada pihak berwajib namun kesal kerana masih belum mendapat maklum balas lanjut sehingga kini.

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Sementara itu, permasalahan itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menggesa kerajaan negeri turun padang meninjau dan menyelesaikan masalah itu.

“Saya minta pihak berkuasa lihat kembali aspek keselamatan yang tiada di tapak projek ini sehingga boleh mendatangkan bahaya malah meragut nyawa penduduk.

“Walaupun projek ini melibatkan 700 unit rumah, tiada langsung dinding (penutup zink) dipasang di kawasan tambak ini supaya tidak melibatkan sebarang pencemaran kepada penduduk,” katanya. – Malaysia Gazette.