Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada hari ketiga perbicaraan kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Prosiding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta yang bersambung pada hari ketiga menyaksikan saksi kedua pendakwaan, Azizul Adzani Abdul Ghafar memberi keterangan.

Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh menyoal balas Azizul berhubung pembabitannya dalam serbuan ke atas AmBank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Azizul memberitahu mahkamah selain daripada pasukan beliau, terdapat satu lagi kumpulan dari Bank Negara Malaysia (BNM) yang turut membuat serbuan di cawangan tersebut.

Namun Azizul turut mendedahkan dirinya tidak tahu menahu seandainya ada arahan serbuan diberikan kepada pasukan BNM tersebut.

Kata Azizul lagi, dirinya tiba di  premis terbabit pada awal pagi dan telah berada di lokasi itu sehingga jam 9 malam untuk menunggu satu pasukan penyiasat lain menyelesaikan sebuan berasingan di tempat sama.

“Saya hanya tunggu di bank berkenaan untuk pulang bersama dengan pasukan itu. Tiada arahan diberikan untuk saya tunggu sebaliknya saya sendiri yang menunggu,” katanya.

Tambah Azizul, serbuan BNM merupakan satu operasi besar.

Semalam Azizul memberitahu Mahkamah Tinggi yang dilantik sebagai pegawai penggeledah ketika itu, berkata beliau telah menemui Pengurus Cawangan Ambank terbabit iaitu R Uma Devi dan memaklumkan senarai akaun yang diperlukan BNM bagi tujuan siasatan.

“Puan Uma Devi telah mendapatkan semua dokumen yang saya nyatakan dan setelah meneliti dokumen-dokumen tersebut, saya mencatatkannya dalam senarai geledah,” katanya.

Dokumen termasuk lapan fail berkaitan pembukaan empat akaun Najib, tiga akaun SRC International dan satu akaun anak syarikat SRC International Gandingan Mentari Sdn Bhd disita. –MalaysiaGazette

Menyusul