M. Saravanan.

KUALA LUMPUR – Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) akan memberikan pengecualian pembayaran levi kepada lebih 30,000 majikan yang berdaftar dengannya untuk tempoh enam bulan mulai April 2020 sehingga September 2020, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta 612), semua majikan yang tergolong dari 63 sub-sektor daripada tiga sektor utama – perkilangan, perkhidmatan serta perlombongan dan pengkuarian – yang mempunyai 10 atau lebih kakitangan adalah diwajibkan untuk berdaftar dengan PSMB.

Mereka juga perlu membayar levi Pembangunan Sumber Manusia (PSM) pada kadar satu peratus dari keseluruhan gaji bulanan pekerja mereka.

Menurutnya, tiada sebarang pendaftaran diperlukan oleh majikan berikutan semua majikan berdaftar dengan PSMB akan dikecualikan daripada membuat caruman secara automatik.

Inisiatif ini merupakan usaha kerajaan serta Kementerian untuk menjaga kebajikan dan meringankan beban yang ditanggung majikan dan rakyat akibat Covid-19 dan dalam masa yang sama memastikan pasaran pekerja tempatan terus utuh.

Untuk maklumat lebih lanjut berhubung pengecualian levi ini, sila layari laman sesawang www.hrdf.com.my. atau menghubungi perkhidmatan pelanggan PSMB di [email protected] atau di talian 1800-88-4800. – MalaysiaGazette