Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Kedah menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti dalam menentukan siapa calon Menteri Besar (MB) yang akan dipilih jika Kerajaan Perpaduan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya bersedia menerima sesiapa sahaja yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan soal MB sekiranya BN-PH jadi kerajaan di Kedah, sebab itu keputusan pucuk pimpinan.

“Biar pun UMNO negeri boleh berikan cadangan calon menteri besar tetapi keputusan muktamad diputuskan oleh pimpinan tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mahdzir,  pihaknya bersedia menerima sesiapa sahaja yang diputuskan kelak.

Jelas beliau, kepimpinan parti di peringkat negeri sekadar boleh memberikan cadangan calon  kepada UMNO untuk dirundingkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh Anwar untuk menjadi MB Kedah – sama ada dari BN atau PH sekiranya Kerajaan Perpaduan menang dalam PRN nanti.

Ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, beliau tegaskan, apa yang lebih penting ketika ini adalah keserasian antara gabungan tersebut.

Ditanya mengenai kemungkinan Kedah akan ditadbir oleh Menteri Besar dari BN sekiranya dapat menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Mahdzir optimis dan berharap ia menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, kalau (dakwaan itu) betul. Namun kita harus serah kepada pucuk pimpinan untuk putuskan,” jelasnya.  

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada BN akan mengitar semula calon MB seperti yang berlaku pada era pemerintahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dilantik menerajui Kedah sebanyak dua kali.

Mengulas sama ada calon MB akan dipilih daripada parti yang memenangi paling banyak kerusi PRN, Mahdzir berkata, ia bukan syarat wajib.

“Terserahlah kepada pucuk pimpinan, ada negeri yang tak sampai (menang lebih banyak kerusi) pun jadi juga MB,” katanya lagi. – MalaysiaGazette