Pulau Pangkor

IPOH – Pelancong yang mahu ke Pulau Pangkor menerusi inisiatif gelembung pelancongan yang dijangka November depan tidak boleh berkunjung ke pusat peranginan itu secara ‘walk-in’ atau jumpa terus.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, sebaliknya pelancong perlu menempah pusat penginapan dan tiket feri secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan melampau di pulau itu.

“Buat masa sekarang, pelancongan dalam negeri dibenarkan secara ‘walk-in’ tetapi sekiranya inisiatif gelembung pelancongan dilaksanakan, tidak ada lagi ‘walk-in’ dibenarkan kerana kesesakan sering kali berlaku terutamanya di terminal feri yang agak kecil dan pintu masuk.

“Tidak ada cara lain selain pelancong perlu menempah pusat penginapan dan tiket feri secara dalam talian sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan tempat ‘rehat dan rawat rider’ (3R) khusus untuk penghantar makanan dan barangan di sekitar bandar raya ini di sini hari ini.

Ahad lepas, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri menjangkakan pembukaan Pulau Pangkor kepada pengunjung pada 1 Nov depan berpandukan inisiatif gelembung pelancongan dan keputusan itu tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara yang akan dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sementara itu, beliau berkata, pembukaan 3R yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh itu merupakan yang pertama di negara ini sekali gus mampu memberi manfaat kepada hampir 3,000 penghantar makanan di bandar raya ini yang dilengkapi dengan ruang rehat, solat, tandas dan perkhidmatan Wi-Fi percuma.

Menurutnya, tujuh lokasi 3R dibina di sekitar Ipoh iaitu di pusat bandar, Meru Raya, Jelapang, Medan Gopeng, Klebang, Station 18 dan Taman lpoh dengan membabitkan peruntukan hampir RM500,000. – Bernama