Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. pada majlis penyerahan bendera Kontinjen Johor sempena Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negara 2017 di IPK Johor.

JOHOR BAHRU – Kematian empat beranak di rumah mereka di Rini Residence, Mutiara Rini di sini kelmarin dipercayai berpunca daripada tekanan kewangan dan masalah kesihatan isteri mangsa.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tersebut, bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan.

“Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai membunuh tiga ahli keluarganya sebelum membunuh dirinya dengan menggantung diri,” katanya pada majlis penyerahan bendera Kontinjen Johor sempena Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negara 2017 di sini hari ini.

Ditanya sama ada kes tersebut dianggap selesai, beliau menjawab, pihaknya perlu menunggu laporan lengkap sebelum dapat diputuskan.

Akhbar semalam melaporkan R. Pubalan, 53, ditemukan mati tergantung, isterinya, P. Jeya, 46, pula ditemukan di atas katil berhampiran ruang tamu di tingkat bawah rumah di Rini Residence, Mutiara Rini.

Manakala, dua anak mereka, P. Sharveen, 14 dan P. Krishna, 9, ditemukan dengan kesan jerutan di leher dalam sebuah bilik berasingan. – MalaysiaGazette.