Modi Salman
Putera Mahkota Arab Saudi Muhammed Salman dan PM India Narendra Modi bertemu di Sidang Kemuncak G20 di Argentina hari ini.

BUENOS AIRES – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman mengadakan kunjungan rasmi terhadap Perdana Menteri India, Narendra Modi hari ini.

Putera Salman semasa pertemuan itu dilaporkan memberitahu Modi mengenai rancangan Arab Saudi mempertingkat pelaburannya dalam sektor perladangan, teknologi dan tenaga.

Berita itu disahkan pegawai tertinggi India dan dilaporkan agensi berita Saudi pagi ini.

Kedua-dua pemimpin itu yang kini berada di Argentina untuk sidang Kemuncak G20 mengadakan pertemuan itu di kediaman rasmi putera tersebut di Buenos Aires.

Mereka membincangkan mengenai kesediaan Arab Saudi untuk membekalkan produk petroleum kepada India.

Sidang Kemuncak G20 merupakan acara antarabangsa yang pertama disertai putera itu sejak pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada Oktober lalu.

Salman dikatakan akan memuktamadkan pelaburan asas di dalam tabung dana Infrastruktur dan Pelaburan Nasional India.

Tabung berkenaan memainkan peranan membantu pembangunan pelabuhan, lebuh raya dan beberapa projek lain, menurut ahli diplomatik tertinggi negara itu. – MalaysiaGazette