Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan solat sunat ketika hadir pada Solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 MEI 2018.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan solat sunat ketika hadir pada Solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak masih memilih Surau Ar-Rahman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menunaikan solat Jumaat kerana riak mukanya masih sayangkan parti keramat yang diterajuinya sebelum ini.

Jumaat kali ini tidak jauh bezanya berbanding Jumaat minggu lalu kerana kehadiran susuk tubuh bekas Perdana Menteri itu sentiasa dinantikan jemaah surau yang terletak di bangunan ibu pejabat UMNO itu.

Seperti kebiasaan Najib akan bersolat di barisan pertama sebaris dengan pimpinan UMNO lain termasuk pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Selesai sahaja solat Jumaat, Najib diiringi pimpinan UMNO terus beredar dari ruang solat surau berkenaan sambil bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Wajah bekas Perdana Menteri itu tetap kelihatan tenang dan sentiasa senyum kepada orang ramai yang berkerumun bersalaman dengannya.

Najib kemudiannya dibawa menaiki lif dan dipercayai menghadiri perjumpaan tertutup dengan pemimpin tertinggi parti itu di Menara Dato’ Onn, PWTC.

Meskipun Najib sudah melepaskan jawatan tertinggi dalam parti itu, namun beliau dilihat sentiasa meluangkan masa untuk berbincang dengan pemimpin parti walaupun nasibnya masih samar. – MalaysiaGazette