Muhammad Qayyim (kiri) dinobatkan johan qari Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang malam tadi.

BUTTERWORTH – Qari al-Quran braille, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang cacat penglihatan dinobatkan juara Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1444H/2023M.

Kemenangan peserta berusia 25 tahun dari Kelantan itu diumumkan di Pusat Konvensyen PICCA Arena@Butterworth di sini malam tadi.

Acara itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Muhammad Qayyim memperoleh 92.67 peratus sekali gus meletakkannya sebagai juara orang kelainan upaya (OKU) pertama sejak pertandingan berkenaan berlangsung pada 1947.

Muhammad Qayyim (dua dari kiri) manakala Nor Hidayah (dua dari kanan).

Johan bagi kategori qariah pula dimenangi Penolong Pegawai Islam Yayasan Islam Terengganu, Nor Hidayah Abd Rahman, 32.

Dengan kemenangan itu, Muhammad Qayyim dan Nor Hidayah akan mewakili negara bagi menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 20 hingga 26 Ogos depan.

Selain itu, masing-masing mereka memenangi hadiah wang tunai RM20,000, piala iringan serta tambahan RM10,000 bagi menunaikan haji.

Menurut Muhammad Qayyim, beliau tidak menyangka akan bergelar juara pada acara tersebut kerana hanya menyasarkan tempat ketiga.

Dia yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dengan Pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan menyifatkan kemenangan itu merupakan satu kejutan.

“Ketika diumumkan tempat ketiga dengan markah 80 lebih, saya ingatkan diri sendiri tapi  nama Ustaz Husaini yang diumumkan.

“Apabila diumumkan tempat pertama dan saya dengar markah lebih 92 saya memang tak sangka, kerana ada qari yang baca lagi hebat,” katanya anak sulung daripada enam beradik itu.

MTHQK berlangsung enam hari di Pusat Konvensyen PICCA Arena@Butterworth di sini dengan penyertaan 108 peserta tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri. – MalaysiaGazette