Racing Genk membuat persiapan akhir untuk memalukan Liverpool dalam aksi kumpulan E Liga Juara-Juara Eropah malam Rabu ini.

BRUSSELS – Taktik Manchester United yang menamatkan rekod kemenangan 100 peratus Liverpool dalam aksi getir Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford pada malam Ahad lalu memberi inspirasi kepada Racing Genk menjelang aksi keempat kumpulan E Liga Juara Juara Eropah awal pagi esok.

Genk akan bertemu juara bertahan musim lalu Liverpool pada aksi malam Rabu (waktu Eropah).

Jurulatih kelab Belgium itu, Felice Mazzu terpegun dengan taktik permainan the Red Devils yang berjaya mengakhiri rekod menang 100 peratus Liverpool di Old Trafford apabila terikat seri 1-1 terhadap skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Skuad the Red Devils kendalian Ole Gunnar Solskjaer memulakan aksi dengan formasi lima pemain di bek tengah sebelum meledak gol pendahuluan pada minit ke-36 menerusi Rashford hasil hantaran cantik Daniel James sebelum pemain gantian Adam Lallana menyelamatkan Liverpool daripada kalah mengejut menerusi gol penyamaan pada minit ke-85.

Bagaimanapun mereka kecewa gagal meraih tiga mata penuh di Theatre of Dreams.

Menjelang aksi di Belgium malam Rabu, Mazzu berkata, Manchester United mempamerkan aksi luar biasa terhadap Liverpool dengan taktik lima pemain di bek pertahanan berhasil untuk mengecewakan kelab pelabuhan Liverpool itu.

Ditanya sama ada dia merancang menerapkan taktik sama ketika berdepan Liverpool di Belgium, katanya; “Ia hanyalah opsyen untuk kami. Anda akan melihat esok pilihan saya untuk mengecewakan Liverpool”.

Mohamed Salah yang terlepas aksi Old Trafford akibat kecederaan masih belum pasti untuk bermula menentang Genk.

“Apabila Salah tidak beraksi di padang, pergerakan penyerang Liverpool berubah di gawang lawan. Saya tak pasti Salah akan beraksi atau tidak dengan Liverpool, kalau dia masih cedera ataupun sebaliknya kehadirannya membawa perubahan,” ujarnya.

Ditanya apa yang membolehkan Liverpool kelihatan berbahaya di atas padang untuk lawan, Mazzu secara berseloroh menjawab:”Klopp”.

Dia mengakui Liverpool mudah menjaringkan gol dengan kelebihan 3 atau empat penyerang yang pantas.

“Perkara besar mengenai Liverpool adalah mereka beraksi dengan serangan secara menekan lawan serta pengamalan, dan ini yang kami akan fokus untuk mematahkan percubaan mereka supaya mereka pulang tanpa 3 mata penuh,” tegasnya.- MalaysiaGazette