Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Rais Yatim menunjukkan buku "History For Nation Building" yang telah dilancarkan olehnya di Silverfish Books, Bangsar Village, Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 06 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Rais Yatim akhirnya berceramah di pentas pembangkang selepas menyatakan dirinya sedia menerima apa jua keputusan parti walaupun perlu berhadapan pemecatan dalam parti sekiranya menyokong Pakatan Harapan (PH).

Rais malam tadi muncul di pentas ceramah PH di kerusi yang pernah dimenangi beliau di Jelebu dan menyampaikan ucapan sulungnya bersama gabungan itu.

Semalam beliau muncul buat kali pertama di Titi Jelebu namun tidak menyampaikan ucapan kerana permit tidak menyenaraikannya sebagai penceramah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam ketika ditemui media berkata parti itu belum mengambil apa-apa tindakan terhadap anggotanya itu meskipun beliau berada di atas pentas ceramah bersama PH.

Malah Tengku Adnan berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada nazir yang ditugaskan parti bagi memantau tindak-tanduk Rais sebelum keputusan memecat beliau diambil.

Isnin lalu, Rais berkata, beliau tidak gerun sekiranya dipecat kerana pernah melalui saat itu ketika dalam UMNO.

Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan itu bagaimanapun akur sekiranya dipecat UMNO. -MalaysiaGazette