Jamil Khir Baharom

KUALA LUMPUR – Sambil melahirkan rasa kagum, saksi kelima kes pembelaan SRC International Sdn Bhd, Datuk Jamil Khir Baharom mengambarkan hubungan akrabnya antara Almarhum Raja Abdullah dengan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau pernah menyaksikan sendiri bagaimana mantan Raja Arab Saudi itu begitu teruja dan menyukai Najib sehingga sentiasa memegang tangan sambil berjalan.

“Kalau saya sendiri pun takut, seorang pemimpin yang begitu disegani dunia seperti Raja Arab ini dengan begitu senang boleh memimpin, pegang, gengam tangan Najib ketika berjalan.

“Bayangkan, seorang Raja Arab pegang tangan anda, saya memang takut. Baginda gengam tangan Datuk Najib dengan begitu erat sekali, itu tanda satu penghormatan yang sukar diluahkan melalui kata-kata.

“Selain itu, saya lihat bagaimana mesra dan serta cara baginda bertutur, berjalan dan sebagainya dengan penuh rasa penghormatan.

“Baginda sentiasa senang dengan kehadiran Najib malah pada tanggapan saya hubungan akrab ini seperti seorang anak dan ayah. Ini kerana jarak usia antara mereka namun hubungan itu begitu akrab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkaitan hubungan antara Raja Abdullah dengan Najib mengikut pemerhatian beliau.

Jamil Khir yang juga menjaga Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Perdana Menteri semasa pemerintahan Barisan Nasional juga banyak mengikuti rombongan ke Arab Saudi selain menghadiri mesyuarat rasmi dan tidak rasmi antara pemimpin utama negara itu selama memegang jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Jamil Khir juga mendedahkan bagaimana rata-rata pemimpin negara itu mempamerkan rasa ‘suka’ mereka melalui pemberian hadiah-hadiah mahal serta sukar didapati.

Malah Jamil Khir sempat menunjukkan sebatang pen bertahkta permata yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepadanya sebagai tanda penghormatan serta penghargaan kepadanya.

“Inilah pen itu, saya hendak tunjuk kepada semua dalam bilik ini sendiri. Ini adalah satu penghormatan besar kepada saya.

“Sebenarnya kebanyakan hadiah yang diberikan oleh kerajaan Arab ini tinggi nilainya, bukan sahaja ianya boleh mencecah ratusan ribu tetapi juga jarang sekali anda jumpa dalam pasaran biasa. Seperti jam jenama Rolex, walaupun ada tapi yang diberikan sebagai hadiah itu sememangnya tiada dalam pasaran.

“Memang itu budaya mereka seandainya menyukai dan menyenangi pemimpin atau individu tertentu. Antara hadiah paling berharga yang pernah mereka bagi termasuk kain Kiswah yang digunakan menutup Kaabah.

“Sememangnya sesuatu yang tidak ternilai tetapi ianya diberikan sebagai hadiah,” jelasnya.

Prosiding akan bersambung dengan pasukan pendakwa pula menyoal balas saksi di hadapan Mohd Nazlan. –MalaysiaGazette

Jamil Khir dedah ‘akujanji’ Raja Abdullah kepada Najib