KUALA LUMPUR – RAM Ratings (RAM) telah memberikan penarafan AA1(s)/Stabil dan AA1/Stabil masing-masing bagi dua program Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) yang diterbitkan oleh UEM Group Berhad (UEM Group).

Program tersebut ialah Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) bernilai RM7 bilion yang akan diterbitkan oleh Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik UEM Group, iaitu UEM Olive Capital Berhad dan 2. Program IMTN bernilai RM2.2 bilion (2012/2042) terbitan sebuah lagi SPV milik UEM Group iaitu United Growth Berhad yang dinaiktaraf daripada penarafan AA2/Stabil sebelum ini.

Dalam laporan yang dikeluarkan, RAM memaklumkan peranan UEM Group selaku entiti berkaitan kerajaan kini dilihat sebagai amat penting kepada syarikat induknya, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

“UEM Group kini dilihat sebagai lebih berperanan dalam membantu usaha kerajaan untuk beralih kepada ekonomi hijau bernilai tinggi seperti digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR),” jelas RAM.

Merujuk kepada pengumuman RAM, Datuk Mohd Izani Ghani, Pengarah Urusan UEM Group menyambut baik penilaian RAM, yang merupakan cerminan positif kepada
trajektori strategik syarikat, termasuklah penglibatan UEM Group dalam industri hijau.

“Ia merupakan manifestasi kepada penjajaran komprehensif di antara UEM Group dan syarikat induk kami, Khazanah dalam memacu inisiatif bertumpukan masa hadapan untuk
membangunkan keupayaan tenaga boleh baharu tempatan di Malaysia dan mempercepatkan peralihan tenaga negara ke arah mencapai aspirasi pelepasan sifar
bersih menjelang 2050,” tambahnya. – MalaysiaGazette