Ramadhan Saifullah.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Ramadhan Saifullah terus mencuri perhatian setelah menampilkan prestasi cemerlang sebaik sahaja saingan Liga Malaysia disambung setelah berehat lama gara-gara pandemik Covid-19.

Pemain yang bakal berusia 20 tahun pada Disember ini telah menjaringkan empat gol, satu ketika menentang Pahang dan Perak serta dua gol ketika menewaskan pasukan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu.

Meskipun masih muda, namun Ramadhan telah menunjukkan dia memiliki ketajaman yang baik dan perkara itu amat diperlukan sebagai seorang pemain di bahagian serangan.

Peminat bola sepak berpendapat Ramadhan kini layak untuk dipanggil bagi memperkuatkan pasukan menjelang kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Kematangan serta kualiti yang dimilikinya dilihat mampu mengukuhkan lagi posisi sayap serta dapat memberi cabaran kepada pemain sedia ada seperti Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid.

Ramadhan kini hanya perlu mengekalkan prestasi bersama JDT dalam saingan Liga Malaysia musim ini bagi memastikan beliau menarik minat Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Tan Cheng Hoe sekaligus mendapat tempat dalam pasukan negara. – MalaysiaGazette