P. Ramasamy

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof P. Ramasamy akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam masa yang terdekat bagi membincang isu dakwaan beliau (Ramasamy) mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil (LTTE).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Ramasamy telah banyak kali menjelaskan bahawa beliau hanya melibatkan diri dalam perdamaian tetapi masih ramai yang mahukan penjelasannya.

“Saya telah diberitahu bahawa Mujahid telah menghubungi Ramasamy untuk mengaturkan pertemuan mereka bagi membincangkan isu itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu Ramasamy dalam satu kenyataan sekali lagi mengulangi pendirian bahawa beliau bukan seorang pengganas, sebaliknya beliau adalah seorang pejuang kebebasan yang berprinsipkan perdamaian.

Ramasamy berkata dakwaan bahawa beliau adalah anggota kumpulan pengganas disebabkan penglibatannya dalam proses perdamaian di antara LTTE dengan kerajaan Sri Lanka adalah palsu.-BERNAMA