Home Nasional Rang Undang-Undang Anti Berita Palsu jejaskan kewartawanan

Rang Undang-Undang Anti Berita Palsu jejaskan kewartawanan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menarik semula Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar atau sekurang-kurangnya menyusunnya semula dengan memasukkan industri media sebagai pihak berkepentingan supaya kebebasan akhbar di Malaysia tidak disekat.

Pembentangan rang undang-undang itu yang bertujuan untuk membendung fenomena berita palsu, dikhuatiri mengancam kredibiliti media, bukan hanya di sini tetapi di seluruh dunia.

Jawatankuasa Kebebasan Media Wan-IFRA dan Institut Kewartawanan kesal kerana beberapa siri perbincangan yang dilakukan semasa proses melaksanakan draf undang-undang itu telah mengenepikan media yang merupakan pihak paling penting.

Menurutnya, sebarang undang-undang berhubung berita palsu pasti menjejaskan industri media yang sepatutnya dilihat sebagai pihak berkepentingan paling utama berbanding platform media sosial dan syarikat-syarikat yang terlibat dengan kerajaan.

“Rang undang-undang yang dibentang itu menggambarkan kekurangan penglibatan dengan media, memandangkan ia terlepas pandang terhadap kesannya ke atas media dan tidak memberi perlindungan kepada industri ini.

“Peruntukan-peruntukan dalam rang undang-undang itu membenarkan kerajaan untuk menarik semula artikel melalui mahkamah, yang mana pihak terlibat tidak dapat mengenepikan perintah tersebut sekiranya keselamatan negara digunakan sebagai alasan,” kata Jawatankuasa Kebebasan Media Wan-IFRA dan Institut Kewartawanan dalam kenyataan di sini.

Malah, peruntukan dalam rang undang-undang itu terlalu luas dan ia boleh menarik semula artikel yang tidak dipersetujui kerajaan.

Meskipun terdapat proses yang melibatkan mahkamah dalam menentukan keperluan untuk menarik artikel, rang undang-undang atau peruntukan tidak meletakkan beban besar di pihak kerajaan untuk membuktikan kebenaran sesuatu artikel sebelum dibawa ke mahkamah.

Permohonan bagi menarik balik semula artikel juga ex-parte, yang bermakna artikel-artikel yang disiarkan dalam mana-mana laman sesawang media boleh dikeluarkan oleh pihak yang membantah atau tidak puas hati.

“Kami bimbang dengan akibat artikel yang memetik sumber yang diterbitkan oleh media, kemudian ditakrifkan sebagai berita palsu. Adakah organisasi-organisasi akan berkompromi dengan sumber, yang ternyata bertentangan dengan kewartawanan penyiasatan?

“Rang undang-undang ini juga mendedahkan para pelabur dengan tindakan di bawah undang-undang, sekaligus menjejaskan daya saing perniagaan organisasi media,” ujar beliau.

Jelas Jawatankuasa Kebebasan Media Wan-IFRA dan Institut Kewartawanan, seharusnya sebarang perkara yang tidak dipersetujui dengan saluran media berhubung penerbitan tidak boleh melibatan undang-undang jenayah.

Tetapi rang undnag-undang itu berfungsi sebagai tambahan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan, yang mengekang kebebasan media di negara ini.

Selain itu, kerajaan turut dipersoalkan berhubung hukuman penjara sehingga 10 tahun kepada mereka yang didapati bersalah, jauh lebih berat berbanding Akta Hasutan era kolonial yang hanya memperuntukkan tiga tahun penjara.

“Kami berpendapat peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan sudah mampu menangani jenayah berita palsu dan Rang Undang-Undang Anti Berita Palsu itu hanya sebagai tambahan kepada undang-undang jenayah yang menjejaskan kewartawanan pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette