KUALA LUMPUR – Seutas rantai yang dipakai seorang lelaki menjadi bahan pengesahan mayatnya selepas kereta yang dipandu terbabas dan terbakar di Lebuhraya NPE menghala ke Kuchai Lama awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun berasal dari Desa Kiambang, Serendah dan memandu kereta jenis Honda City dicam oleh ayahnya berdasarkan seutas rantai yang dipakai setelah keseluruhan tubuhnya hangus akibat dijilat api dalam kemalangan itu.

Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Inspektor Mohd Haniff Ab Razak berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca apabila kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Katanya, pembahagi jalan itu merupakan pemisah antara Lebuhraya Seremban ke Kuchai Lama.

“Akibat kemalangan itu kenderaan tersebut telah terbakar keseluruhannya dan mangsa yang berada ditempat duduk turut rentung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Haniff berkata, kawasan kemalangan mempunyai dua lorong dan semasa kejadian cuaca dalam keadaan baik serta jalan yang berlampu.

Katanya, tidak ada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang boleh menunjukkan bagaimana kejadian itu berlaku.

Tambah beliau, bedah siasat akan dilakukan terhadap mayat mangsa dan sampel DNA diambil daripada ayahnya untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette