Anthony Loke

PUTRAJAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) perlu menunggu kelulusan peruntukan RM90 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menaik taraf perkhidmatan Feri Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau sedia maklum rungutan Prasarana yang masih belum memperoleh peruntukan kerajaan Pusat bagi tujuan tersebut.

Bagaimanapun, beliau belum memperoleh sebarang maklum balas daripada Kementerian Kewangan berhubung peruntukan yang dinantikan syarikat tersebut.

“Mereka perlu tunggu daripada Kementerian Kewangan untuk diluluskan peruntukan (RM90 juta) itu.

“Kalau belum..belumlah, banyak perbincangan sedang diteruskan (kelulusan peruntukan) untuk menambah baik perkhidmatan Rapid Feri di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-73 hari ini.

Tambah Anthony,  sementara perbincangan dijalankan beliau mendapati pengoperasian feri masih berjalan normal.

“Sebarang langkah penambahbaikan (perkhidmatan feri) perlu dibincangkan dengan kementerian Kewangan dari segi kelulusan kewangan,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada kementerian boleh memberikan sebarang jangka masa kelulusan peruntukan RM90 juta yang dikehendaki,, beliau berkata:”Belum lagi..saya belum dapat maklumat lagi”.- MalaysiaGazette