Pekerja-pekerja sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih eskalator di stesen-stesen MRT.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja membaik pulih eskalator di stesen-stesen relnya akan siap sepenuhnya pada bulan Februari 2023.

Rapid Rail Sdn Bhd selaku operator kepada perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang berkata, syarikat itu telah menerima alat ganti (fasa 1) pada awal Disember lalu, setelah mengalami kelewatan penghantaran disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global.

Dengan ketersediaan alat-alat ganti tersebut, kerja-kerja penggantian segera telah dijalankan oleh kontraktor pengilang pengeluar asal (OEM) secara berperingkat-peringkat.

Setakat 15 Disember 2022, proses penggantian 20 unit handrail dan 3 unit stepchain di 10 stesen MRT telah disiapkan, dan eskalator di stesen-stesen berkenaan telah kembali beroperasi.

Sebagai langkah jangka panjang, Rapid Rail telah melaksanakan program penyelenggaraan berasaskan keadaan (CBM) yang mana proses mengganti komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dilaksanakan tanpa menunggu jangka hayat tamat.

Berdasarkan konsep CBM, pihak Rapid Rail telah membuat tempahan awalan yang mencukupi bagi menyokong program CBM.

Bagi masalah kebocoran di 93 lokasi di stesen, kerja-kerja membaik pulih di 21 lokasi di stesen LRT dan Monorel telah berjaya disiapkan dan bakinya akan diselesai secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2023.

Bagi kerja-kerja baik pulih di stesen MRT, perbincangan bersama pihak MRT Corporation (MRTC) selaku pemilik aset telah dijalankan.

Proses pembaikan di 22 lokasi kebocoran telah dilakukan dan pemantauan keberkesanan kerja-kerja baik pulih tersebut sedang dilaksanakan.

Menurutnya, terdapat lokasi kebocoran yang memerlukan lebih masa untuk diselesaikan kerana pembaikan tersebut melibatkan modifikasi kepada struktur atap.

Sementara itu, bagi kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian dan penggantian mentol yang bermasalah di stesen-stesen telah hampir selesai.

Rapid Rail telah menjalankan program pemeriksaan serta penyelenggaran berkala dan buat masa ini bilangan lampu yang tidak berfungsi adalah di bawah 1%.

Baki lampu yang masih tidak berfungsi merupakan kerosakan baru dan penggantian segera akan dilakukan.

Tambahnya, buat masa ini, peratus ketersediaan operasi fasiliti lif di stesen LRT dan MRT berada pada tahap 99.00 peratus.

Aktiviti penyelenggaran sentiasa dilakukan secara berkala bagi memastikan fasiliti yang disediakan untuk pengguna berada dalam keadaan yang baik.

Bagi isu lif di stesen-stesen monorel pula, rekabentuk asal stesen monorel tidak mempunyai fasiliti lif.

Menyedari keperluan pengguna terutamanya warga emas dan orang kelainan upaya, Prasarana telah mengambil inisiatif untuk menambah 18 unit lif dan 39 unit kerusi roda di platform lift” ini untuk keselesaan orang awam.

Kerja-kerja menaik taraf fasiliti lif di monorel ini memerlukan penambahbaikan dari segi struktur dan juga melibatkan beberapa isu keselamatan yang perlu dibaiki.

Projek naik taraf akan bermula pada suku pertama tahun 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan. – MalaysiaGazette