KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh kerana disyaki menerima rasuah bagi pengeluaran Visa Luar Negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Dua pegawai berkenaan yang masing-masing lelaki dan wanita direman selama tiga hari bermula kelmarin sehingga hari ini.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas mereka dihadapkan di mahkamah berkenaan pada Selasa lalu.

Sumber memberitahu, SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek berkenaan.

Mereka sudah diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes terbabit yang dikendalikan SPRM.

Kata sumber itu, lebih 20 akaun bank membabitkan individu dan syarikat berkaitan sudah diambil tindakan pembekuan.

Sehingga hari ini, pembekuan akaun dan penyitaan harta alih dan tak alih membabitkan penyitaan lapan bidang tanah dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.1 juta.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

“Saya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa tangkapan lain yang akan dibuat selepas ini.

“SPRM juga sedang mengesan seorang individu, Siti Liyana Sakijan untuk membantu dalam siasatan berkenaan,” tegas beliau.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Jayaraj Rajan di talian 016-6371082.

Siti Liyana dikehendaki SPRM bantu siasatan kes AMLA

1 Komen

  1. Apek Tokong dah TAUBAT buat rasuah (Kes Sedang Dibicara dibuang Kes Rujuk Tommy) dan Pekak Bisu untuk menganjing kes-kes RASUAH.
    Ini perkara *TIDAK PELIK* dilakukan DAPdupDAP bertali arus MENUAI RASUAH. Yang PELIK puak-puak ni dan RBA senantiasa menghentam PARTI dari PN buat rasuah juta-juta. Macam mana KES terpilih ini puak-puak ni boleh **TAHU dan TIDAK BOLEH TAHU**?

Comments are closed.