Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – “Pada zaman Rasulullah, walaupun Nabi Muhammad sudah janji mahu buat umrah tapi terhalang tidak dapat ditunaikan. Sama dengan manifesto, kita janji untuk usahakan tapi ada yang tidak dapat ditunaikan,”.

Itu antara penjelasan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad yang menolak dakwaan kononnya PH gagal melunaskan janji manifesto ketika mentadbir negara pada 2018 yang lalu.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, perumpamaan tersebut sering disalah erti oleh sesetengah pihak yang beranggapan kenyataan itu sebagai penghinaan terhadap Rasulullah.

“Saya tak kata Nabi Muhammad mungkir janji, manusia merancang dan Allah yang menentukan. Kita sebagai orang Islam akan jadikan Rasulullah sebagai pengalaman dalam kehidupan dan pengajaran kepada kita,” ujarnya pada sidang media di sini hari ini.

Jelas Khalid, banyak pihak hanya tahu menuduh kerajaan PH sebelum ini tidak berusaha menunaikan manifesto yang ditaburkan, namun tidak cakna terhadap usaha yang telah dilakukan terutama isu pemansuhan tol.

“Kita sudah jumpa pemilik tol PLUS iaitu kita panggil wakil Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional datang mesyuarat kabinet.

“Namun mereka kata kalau mansuh tol, ia akan beri masalah kepada pulangan dan pelaburan mereka sekali gus menjejaskan implikasi kewangan,” ulasnya.

Bagaimanapun, penyandang Parlimen Shah Alam selama tiga penggal itu mengingatkan rakyat bahawa bukan semua janji tidak tertunai, misalnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang didakwa menjadi keluhan orang ramai berjaya dihapuskan.

Mengulas mengenai satu video tular ketika beliau berkempen baru-baru ini, Khalid memohon maaf kepada beberapa kumpulan penduduk di sekitar Jalan Raja Muda Musa di sini sehingga mencetuskan perang mulut.

“Ada seorang datang provok atas kenyataan lama saya di mana saya mengatakan tanah Kampung Baru ini tidak akan naik (nilai) walau tunggu sampai ke lubang kubur, bila sebut kubur ini saya faham ramai yang sensitif, saya minta maaf,” katanya.

Parlimen Titiwangsa bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional, PH, Perikatan Nasional dan Gerakan Tanah Air. – MalaysiaGazette