Muhyiddin menyerahkan surat pelantikan Ketua Penerangan Bersatu kepada Razali.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris dilantik sebagai Ketua Penerangan baharu parti itu berkuat kuasa semalam.

Perkara itu didedahkan Wan Saiful Wan Jan dalam hantaran Facebooknya, yang telah meletakkan jawatan itu pada 21 Februari lalu.

“Alhamdulillah, malam ini secara rasmi YB Senator Datuk Razali Idris dilantik sebagai Ketua Penerangan Bersatu Malaysia.

“Saya yakin Datuk Razali akan dapat meneruskan, malahan menambah baik gerak kerja Penerangan seluruh negara. Tahniah Tok Li!,” katanya.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu menerima surat pelantikan itu daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang turut disaksikan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Wa Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor meletakkan jawatan itu selepas didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – MalaysiaGazette