Azalina Othman Said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara dan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata rakyat Malaysia, khususnya rakyat negeri Johor, wajar diberi penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Perkara sebegini tidak patut berulang lagi pada masa hadapan. Rakyat Malaysia berhak tahu perkara sebenar dan alasan di sebalik keputusan ini.

“Ini soal hak dan kedaulatan negara, di mana salah dan silap? Siapa yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan yang telah menyebabkan Malaysia kehilangan hak ke atas Batu Puteh? Adakah prosedur and proses perundangan telah dipatuhi,” katanya pada sesi penerangan menteri di Kamar Khas di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata persoalan lain termasuk siapa yang menasihati pihak kerajaan pada waktu itu (2018) memandangkan Peguam Negara ketika itu sedang bercuti.

Azalina turut mempersoal sama ada Jemaah Menteri dimaklumkan mengenai perkara itu dan keputusan Jemaah Menteri diperoleh serta sama ada Kerajaan Persekutuan ketika itu telah merundingi Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan persetujuan mereka kerana ia adalah isu tanah serta hal ehwal wilayah sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata semua persoalan yang dibangkitkan belum terjawab secara jelas dan nyata sama ada melalui siasatan dalaman atau siasatan oleh Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (PPK) yang ditubuhkan pada 22 Dis 2021.

“Sehubungan itu, jelas bahawa terdapat keperluan bagi siasatan menyeluruh dilaksanakan bagi mengkaji pengendalian semua perkara berkaitan dengan perkara ini, secara khususnya dari aspek perundangan termasuk aspek tort misfeasans sebagai hala tuju ke hadapan agar langkah-langkah yang sewajarnya boleh diambil oleh pihak kerajaan terhadap mana-mana pihak dan individu yang dikenal pasti,” katanya.

Azalina berkata Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan sama sekali berkompromi dalam sebarang hal ehwal yang membabitkan soal hak, kedaulatan dan maruah negara.

“Perdana Menteri sendiri pernah memberi jaminan dalam Dewan yang mulia ini bahawa kerajaan akan terus berjuang habis-habisan demi melindungi dan memelihara kepentingan serta kedaulatan Malaysia pada setiap masa,” katanya.

Beliau juga berkata penubuhan RCI adalah sebagai misi mencari fakta bagi pihak Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk membolehkan pelaksanaan siasatan lanjut yang terperinci secara bebas, telus dan profesional susulan hasil laporan akhir oleh PPK yang  mengambil masa 10 buIan.

Azalina berkata PPK berdepan pelbagai cabaran antaranya kesukaran dan kelewatan memperoleh dokumen terperingkat yang berada dalam simpanan Kementerian/Jabatan/individu tertentu, kementerian/Jabatan berkepentingan/individu tertentu kurang memberikan input dan pandangan, perintah perlindungan akses terhadap dokumen dan material serta ketiadaan kuasa oleh PPK untuk memanggil saksi dan mendapatkan dokumen berkaitan.

Beliau berkata ini berbeza dengan RCI yang memiliki beberapa kuasa penting dalam menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mendapatkan kebenaran fakta demi keadilan rakyat termasuk boleh menyaman orang untuk memberi keterangan, mengeluarkan waran tangkap bagi yang ingkar dan mendenda individu yang ingkar.

Secara umumnya, Azalina berkata terma rujukan bagi RCI antara lain ialah mendapatkan penemuan keterangan lanjut yang berkaitan dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh PPK serta menyediakan hasil penemuan, menyemak, mengkaji dan menyediakan pandangan jika mana-mana pihak berkaitan melanggar sebarang undang-undang, norma kerja atau pekeliling pentadbiran dalam pelaksanaan tanggungjawab.

Selain itu, ia juga bagi menilai, mengenal pasti serta mencadangkan syor berkenaan dengan tindakan perundangan dan bukan perundangan yang boleh diambil selain menyediakan laporan yang mengandungi hasil kajian, analisis serta syor berkaitan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

“Tempoh masa yang ditetapkan bagi siasatan RCI ini ialah selama satu hingga tiga bulan, dengan tempoh maksimum enam bulan, mengambil kira skop siasatan yang luas serta kompleksiti isu terlibat,” katanya.

Azalina berkata laporan RCI akan disembah maklum kepada Sultan Ibrahim untuk perkenan dan seterusnya dibentangkan kepada Jemaah Menteri supaya tindakan sewajarnya dapat dipertimbang untuk diambil berdasarkan hasil kajian ke arah pengendalian lebih berkesan berkaitan isu kedaulatan negara selain kerajaan juga memberi komitmen supaya laporan itu dibentangkan di Parlimen.

Pada 14 Feb lepas, Sultan Ibrahim memperkenankan penubuhan RCI itu yang dianggotai tujuh ahli dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

Azalina berkata Malaysia terlibat dalam pertikaian selama 30 tahun bagi mempertahan hak dan kedaulatan ke atas Batu Puteh namun akhirnya negara telah kehilangan hak serta kedaulatan ke atas Batu Puteh buat selama-lamanya.

“Satu detik hitam dalam sejarah Malaysia yang berdaulat. Kita tidak kalah dalam pertikaian ini di Mahkamah. Malah ICJ sendiri pernah menyebut bahawa batuan itu pernah menjadi milik Kesultanan Johor Lama,” katanya.

Pada 2 Feb 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 namun pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018. – BERNAMA