Jadon Sancho kini dalam radar Real Madrid sekaligus menggugat peluang Manchester United dan Chelsea yang berminat dan mengikuti rapat perkembangan pemain itu di Borussia Dortmund

MADRID – Real Madrid nampaknya turut berminat mendapatkan  khidmat bintang berbisa sayap Borussia Dortmund Jadon Sancho.

Pemain kebangsaan England itu juga berada dalam radar Manchester United dan Chelsea untuk musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.

Laporan di Sepanyol mendakwa Sancho berusia 20 tahun dikaitkan rapat dengan Old Trafford dengan nilai perpindahan £100 juta pound.

Bagaimanapun pesaingnya, Chelsea juga menyatakan minat dan ‘mengintai’ perkembangan pemain itu di dalam Bundesliga Jerman.

Kini the Galacticos dikaitkan rapat untuk membeli pemain berbakat itu sambil mengharapkan kelab lain tidak membeli pemain itu.

Ia sekaligus bakal menggugat peluang dua kelab EPL iaitu, the Red Devils dan Chelsea yang sudah lama mengintai dan mengadakan beberapa siri rundingan dengan agen pemain itu untuk memuktamadkan khidmatnya.

Beberapa bulan lalu, laporan mendakwa Pengurus Madrid, Zinedine Zidane tidak sanggup mengeluarkan dana besar untuk memenuhi klausa pelepasan pemain itu.

Bagaimanapun tercetus persoalan mengenai minat pengurus kelahiran Perancis itu yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan khidmat bintang muda itu sebagai memperkuatkan jentera serangan pasukan gergasi La Liga itu.

Sancho setakat ini berjaya menjaringkan sebanyak 17 gol dalam 27 aksi Bundesliga bersama Dortmund musim ini termasuk hatrik hujung minggu lalu di Paderborn.

Sejak Cristiano Ronaldo meninggalkan Santiago Bernabeu ke Juventus pada 2018, Jentera serangan Real Madrid buntu dan hilang sengat.

Manakala Luka Modric dan Gareth Bale yang menjadi sandaran utama pasukan itu hilang kepercayaan Zidane dan kurang menyerlah.

Kehadiran Eden Hazard dari Chelsea juga tidak dapat membantu Real apabila pemain itu pula dilanda krisis kecederaan.

Sancho yang merupakan produk akademi belia Manchester City kini berjaya meletakkan dirinya sebagai bintang terunggul Bundesliga sejak meninggalkan Stadium Etihad Manchester dua tahun lalu.-MalaysiaGazette