ACP Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Seorang kanak-kanak perempuan empat tahun didakwa menjadi mangsa penderaaan seksual oleh bapa kandung yang kini dalam proses perceraian dengan ibu mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mihd Zaid Hassan berkata, ibu mangsa yang berusia 41 tahun telah membuat laporan polis pada 23 Ogos lalu, mendakwa anaknya menjadi mangsa gangguan seksual suaminya.

Ibunya mendakwa anaknya menjadi mangsa gangguan seksual sejak bulan Mac lalu semasa berada di bawah jagaan suspek, seorang pemandu Grab yang tinggal di Bandar Tasik Kesuma Beranang.

Pasangan suami isteri itu berkahwin pada tahun 2017 tetapi duduk berasingan sejak dua tahun lalu kerana dalam proses bercerai.

Tambah beliau, pada 17 Oktober 2021 semasa dalam proses penceraian, kes telah dirujuk ke Mahkamah Tinggi untuk isu hak penjagaan anak yang mana ibu mendapat hak jagaan anak serta bapanya hanya diberi hak penjagaan pada setiap hujung minggu kedua dan keempat.

Keputusan itu dikatakan telah menimbulkan ketidakpuashati ibu kanak-kanak terbabit.

Mihd Zaid berkata, sejak kanak-kanak tinggal bersama dengan bapanya setiap minggu pada masa dan tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah, wanita itu telah beberapa kali membuat laporan polis kerana mengesyaki berlaku penderaan seksual terhadap anak perempuannya.

“Kanak-kanak itu telah menjalani pemeriksaan pada 28 Ogos 2023 di Hospital Kajang.

“Sejak itu, kedua-dua belah pihak iaitu ibu dan bapa kanak-kanak terbabit saling membuat laporan polis antara satu sama lain bagi tujuan mendapatkan hak penjagaan sepenuhnya terhadap anak mereka.

Kes berkenaan telah disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum selama tempoh 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahannya.

Menurutnya, suspek dalam kes ini iaitu bapa mangsa sudah dipanggil dan dirakam keterangan.

“Kes masih dalam siasatan di mana semua keterangan dari pelbagai sudut perlu dilengkapkan sebelum kes dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan nasihat lanjut.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp. Muhammad Faizal bin Azizi di talian 011-16120032 bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette