Ahli Reformis 98 yang hadir pada Majlis Minum Petang danTemu-rapat Bersama Reformis 98 di Institut Darul Ehsan (IDE) Shah Alam. Foto QURRATU AINI, 10 SEPTEMBER 2023.

SHAH ALAM – Sekretariat Reformis Madani Malaysia mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan badan kehakiman bebas daripada campur tangan politik.

Wakilnya, Khairul Anuar Othman berkata, kes mahkamah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Perpaduan.

“Kes mahkamah Datuk Seri Ahmad Zahid di bawah bidang kuasa badan kehakiman dan bebas daripada campur tangan Ketua Badan Eksekutif yakni Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Peguam Negara yang mengetuai badan kehakiman, pasukan pendakwa dan barisan hakim dalam kes Datuk Seri Ahmad Zahid adalah lantikan era Kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wakil Sekretariat Reformis madani, Khairul Anuar berucap pada Majlis Minum Petang danTemu-rapat Bersama Reformis 98 di Institut Darul Ehsan (IDE) Shah Alam. Foto QURRATU AINI, 10 SEPTEMBER 2023.

Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid dari 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa Jabatan Peguam Negara mahu memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Dalam pada itu, Khairul Anuar juga berkata, kes ini masih terbuka disiasat pihak berkuasa yang berkaitan.

“Kes Datuk Seri Zahid ini masih boleh disiasat SPRM, PDRM dan Jabatan Peguam Negara jika ada bukti baharu yang kukuh bakal didakwa semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette