Sebanyak 33 buah bot akan bersaing bagi merebut trofi kejuaraan yang dipertandingkan pada Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) tahun ini.

KUALA LUMPUR –   Edisi pembuka tirai kalendar acara pelayaran di Asia Tenggara kembali ke Pulau Langkawi apabila Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) tahun ini mencatat sejarah penganjurannya bagi edisi ke-20.

Acara tahunan yang dianjurkan di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC), Kuah kali ini menyaksikan penyertaan daripada 33 buah bot yang melibatkan kira-kira 250 orang pelayar.

RYLC berkata, objektif penganjuran RLIR adalah untuk menempatkan nama Malaysia dalam kalangan destinasi pelayaran terunggul di samping mempromosikan Langkawi sebagai hab pelancongan sukan di rantau ini.

“Edisi ke-20 RLIR telah berjaya menarik penyertaan dari Malaysia, Thailand, Denmark, United Kingdom, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, New Zealand, China dan juga Vietnam.

“RLIR akan menyaksikan pertandingan dalam tujuh kelas iaitu Racing, IRC1, IRC2, Multihull, Sports Boats, Club Class dan Ocean Rover/White Sail.

“Sebanyak 33 buah bot akan bersaing bagi merebut trofi kejuaraan yang dipertandingkan termasuk Prime Minister’s Challenge Trophy (kelas Racing), LADA-IRC Challenge Trophy (kelas IRC 1), RLIR-IRC 2 Challenge Trophy (kelas IRC 2), Commodore’s Challenge Cup (kelas Club), Langkawi Sports Trophy (kelas Sports Boat) dan Malaysia Multihull Challenge Cup (kelas Multihull),” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah khas, Tunku Abdullah Sportsmanship Award diperkenalkan.

Selain itu, RYLC berkata,  pasukan yang mempamerkan semangat kesukanan tertinggi sepanjang RLIR berlangsung akan menerima anugerah khas, Tunku Abdullah Sportsmanship Award.

Sementara itu, RLIR untuk tahun ini bermula 15 Januari lalu hingga 20 Januari depan adalah anjuran bersama Belt and Road Regatta (BRR).

Ia turut mendapat tajaan daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), ALJ Global Sdn Bhd, Hypergear, Liquid Marketing Sdn Bhd serta Rainman.

Dalam pada itu, RLIR turut mendapat sokongan daripada Persatuan Pelayaran Malaysia, World Sailing dan Aseanarean Bluewater Alliance. – MalaysiaGazette

Penyertaan daripada 33 buah bot yang melibatkan kira-kira 250 orang pelayar.