Home Nasional RM1 juta bangunkan percutian glamping di Pulau Besar

RM1 juta bangunkan percutian glamping di Pulau Besar

MELAKA – Pulau Besar, Telok Mas di sini akan dibangunkan sebagai tarikan eko pelancongan baharu negeri berkonsepkan percutian ‘glamour’ dan ‘camping’ atau glamping yang pertama di Melaka menjelang Jun ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, perkara itu diputuskan empat hari lepas dengan kerjasama beberapa agensi lain di peringkat negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, kerja-kerja awal pembersihan tapak glamping sepanjang 200 meter di pulau berkenaan telah pun bermula dengan kerjasama Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM).

“Menerusi kerjasama MPPM dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kawasan pesisiran Pulau Besar ini akan menjadi tapak glamping pertama yang mana saya yakin ia bakal membantu Melaka mencapai sasaran 5.6 juta pelancong tahun ini.

“Mungkin minggu depan saya akan cuba berbincang dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri mengenai bantuan yang diperlukan sebelum dijangka beroperasi pertengahan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pulau Besar New Year Challenge 2022 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MPPNM Azhar Yaacob.

Mengulas lanjut mengenai kos diperlukan untuk pembangunan kawasan tersebut, Muhammad Jailani berkata, ia dijangka menelan kos sebanyak RM1 juta.

“Kos pembangunan kawasan glamping ini mungkin perlukan RM1 juta, termasuk membangunkan keperluan asas seperti surau, tandas dan sebagainya untuk kemudahan pelancong.

“Atau pun mungkin kalau kemudahan itu seperti ‘back to nature’, kos RM500,000 sudah mencukupi dan insya-Allah ianya dapat direalisasikan pertengahan tahun ini,”katanya.

Pulau Besar New Year Challenge 2022 disertai 120 individu daripada seluruh negara yang bersaing mewakili 60 pasukan.

Pada pertandingan ini, setiap peserta perlu melengkapkan empat disiplin di kawasan pulau iaitu berlari, menunggang basikal lasak dan ‘wall climbing’.